NGO beri kerjasama, bagi elak dijangkiti – KKM

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalinkan kerjasama dengan pihaknya jika mahu membantu di lapangan termasuk di Sabah bagi mengelak dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM sedar ada antara NGO yang bergerak sendiri menjalankan aktiviti di lapangan.

“Kami bimbang, misalnya mereka berada di lapangan dan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) tetapi terlupa memakai sarung tangan atau kawalan jangkitan berkaitan.

“Hasrat mereka murni tetapi kamu juga perlu melindungi NGO ini kerana, petugas barisan hadapan juga terkena jangkitan, apatah lagi NGO yang berada di lapangan,” katanya pada sidang media hari ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM juga mengesan ada antara mereka yang dijangkiti dan mencetuskan kluster sebaik mereka pulang dari Sabah, termasuk di Selangor.

“Justeru, pihak kami berharap NGO dapat bekerjasama dengan KKM untuk memudahkan kementerian ini memberikan latihan asas pencegahan jangkitan Covid-19.

Tambahnya, latihan tersebut akan memudahkan koordinasi bantuan di lapangan serta mengelakkan berlaku pertindihan. – Malaysiapost