
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan agar kawalan serta keupayaan tindakan kesihatan awam di Sabah dipertingkatkan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 dengan segera.
Menerusi kenyataan di Facebook Muhyiddin Yaasin, berkata mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini membincangkan tindakan seterusnya bagi mengawal dan menguruskan pandemik Covid-19.
“Perdana Menteri memperingatkan ahli mesyuarat dan agensi supaya memberi komitmen penuh ke atas kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi memastikan penduduk terlibat mendapat bantuan barang keperluan yang mencukupi,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pada mesyuarat Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pula, Perdana Menteri menggesa semua pihak yang terlibat supaya memudah cara perancangan dan pembinaan infrastruktur digital.
“Terutama di peringkat negeri dan kerajaan tempatan bagi memastikan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi disediakan kepada rakyat.
“Ini kerana pandemik Covid-19 menyaksikan kebergantungan yang tinggi kepada liputan jalur lebar yang berkualiti tinggi,” katanya.
Perdana Menteri hari ini mempengerusikan MPFN ke-36 pada sebelah pagi, diikuti dengan Sidang Khas MKN dan taklimat Bajet 2021 pada sebelah petangnya.
Kedua-dua mesyuarat dan taklimat seperti biasa diadakan mengikut norma baharu menerusi sidang video dari Pejabat Perdana Menteri.
Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, sebelum pulang, Perdana Menteri telah menerima panggilan telefon daripada Presiden Turkmenistan, TYT Gurbanguly Berdumuhamedov, berbincang mengenai kerjasama dua hala yang telah terjalin sejak 28 tahun lepas.
Petronas telah bertapak di negara itu sejak 1996 dan merupakan pelabur terbesar dengan jumlah pelaburan mencecah AS$11 bilion.
Perdana Menteri menyambut baik jemputan Presiden Berdumuhamedov untuk melawat negara tersebut dan menjemput beliau untuk melawat Malaysia setelah situasi Covid-19 pulih. – Malaysiapost
