Patuhi tiga larangan jika adakan pilihan raya – KP Kesihatan

0
3

TIGA larangan perlu dipatuhi dan dilaksanakan sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Larangan-larangan tersebut, kata Dr Noor Hisham adalah bagi mengawal penularan Covid-19 akibat dari pilihan raya.

Beliau berkata, larangan-larangan tersebut adalah tidak dibenarkan merentas sempadan atau pulang ke kampung, tidak boleh berkempen rumah ke rumah dan juga tidak boleh mengadakan perhimpunan beramai-ramai.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyarankan sebaik-baiknya pilihan raya tidak dijalankan dalam masa terdekat.

“Namun jika diadakan perlu mematuhi tiga larangan berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh PRK Parlimen, Batu Sapi, manakala 23 November sebagai tarikh penamaan calon manakala 1 Disember sebagai tarikh mengundi awal.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 4 Disember.

Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka dan tutup permohonan adalah pada 13 Oktober dan 19 November 2020.

Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 2 Oktober lalu. -Malaysiapost