Misi mencari Safawi 2.0

0
2

JABATAN Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) melancarkan Program Mencari Safawi 2.0 bagi melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia.

Ia susulan anak kelahiran Terengganu yang meraih pelbagai kejayaan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid yang kini mencipta nama bersama Portimonense SC dalam Liga Portugal.

Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu akan bermula hujung tahun ini.

“Kejayaan pemain itu mendorong kita mencungkil lebih ramai lagi pemain sehebat Safawi dan siri jelajah di seluruh daerah akan dilakukan untuk mencari 20 pemain berusia 12 tahun.

“Ia sebagai perintis untuk diserapkan masuk ke Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas yang juga Akademi Bolasepak Terengganu.

“Mereka akan mengikuti modul latihan secara sistematik yang dirangka panel kejurulatihan dan jawatankuasa program.

“Kita yakin dengan program pembangunan yang tersusun dan kerjasama daripada semua sekolah di negeri ini dan pihak yang terlibat dalam pencarian bakat baharu, objektif untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti sehebat Safawi akan tercapai,” katanya seperti dilapor Harian Metro. – Malaysiapost