TEKA teki hala tuju bekas penyerang bawah 23 tahun negara, N Thanabalan menjadi tanda tanya selepas kontraknya bersama Kedah tamat hujung tahun ini.
Pemain yang berusia 25 tahun itu mengakui mendapat tawaran tiga kelab termasuk dari Liga Super yang menagih khidmatnya.
“Kontrak bersama Kedah habis tahun ini dan sekarang ada tiga kelab yang menawarkan kontrak, mungkin musim depan saya akan bermain untuk pasukan baharu.
“Ia masih di peringkat rundingan, lagi pun saya mahu pilih pasukan yang boleh beri saya jaminan minit permainan,” katanya dilapor Bernama.
Dia yang sebelum ini beraksi dengan Negeri Sembilan kini bersama pasukan ‘feeder club’ Perak II secara pinjaman dari Kedah dalam saingan Liga Premier 2020.
Thanabalan bersyukur diberi peluang untuk beraksi dalam pasukan Perak II sekali gus membantu meningkatkan prestasi dan tahap kecergasannya.
“Saya membuat keputusan tepat dan memang puas hati pergi ke sana (Perak II), sangat berbaloi. Saya dapat rasakan tahap kecergasan bertambah baik memandangkan intensiti program latihan juga tinggi, serta kata perangsang yang sering diberi jurulatih.
“Beliau (Abu Bakar Fadzim) jurulatih yang memberikan tumpuan terhadap aspek kecergasan dan bijak menaikkan motivasi pemain. Beliau seorang jurulatih yang luar biasa. Saya berazam untuk kembali ke tahap terbaik dan buktikan kemampuan saya musim depan,” katanya.
Nama Thabalan cukup dikenali dalam kalangan penyokong bola sepak Malaysia kerana pernah membantu skuad bawah 23 tahun (B-23) layak ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China pada 2018.
Dia memiliki kelebihan tandukan sebagai senjata pemusnah yang turut melonjakkan popularitinya selepas menanduk masuk jaringan kemenangan ke atas Indonesia dalam separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. – Malaysiapost

