Seorang lelaki nekad menjerut leher isterinya dengan tudung hingga mati selepas wanita itu, yang juga seorang pensyarah mahu memfailkan penceraian.
Dalam kejadian pada Rabu itu, mayat pensyarah berusia 40 tahun berkenaan ditemui kereta berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil selepas ditinggalkan suaminya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, berkata suspek berusia 42 tahun itu kemudiannya pulang ke rumah di Putra Perdana, Putrajaya sebelum mengajak anak perempuannya berusia 14 tahun keluar mencari isterinya itu dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing.
“Kira-kira jam 1 pagi hari berikutnya, kami menerima panggilan telefon daripada suspek yang memaklumkan isterinya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran tasik berkenaan.
“Siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang kecederaan pada badan mangsa manakala barang kemas dipakainya masih ada namun beg duit dan telefon bimbitnya hilang.
“Bagaimanapun, helah lelaki berkenaan akhirnya terbongkar apabila laporan bedah siasat di Hospital Serdang mendapati wanita itu mati akibat dijerut (compression of neck),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Wan Kamarul berkata, siasatan mendapati pasangan terbabit mempunyai masalah kerana lelaki berkenaan ada melafazkan cerai pada 24 Jun lalu dan pasangan berkenaan sudah berkahwin sejak 15 tahun lalu.
“Suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari di hospital berkenaan. Lelaki itu mengaku menjerut leher mangsa menggunakan tudung dipakai wanita itu ketika berada di dalam kereta Produa Myvi di Taman Mas, Putra Perdana,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek menjerut leher mangsa kerana terlalu marah selepas mereka bertengkar mengenai hasrat wanita itu untuk memfailkan perceraian.
“Selepas menjerut leher, suspek memandu kereta berkenaan ke Tasik PKNS di Cyberjaya kira-kira jam 4.30 petang sebelum memindahkan mayat mangsa ke tempat duduk pemandu.
“Suspek mengambil dompet dan telefon mangsa dan meninggalkannya di dalam kereta dalam keadaan enjin dibiarkan hidup,” katanya.
Suspek kini diremah sehingga 6 Ogos depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

