Pengurusan Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan penularan berita mengenai kesihatan bekas perdana menteri itu yang kononnya semakin merosot.
Dalam satu kenyataan ringkas menerusi laman sosial Facebooknya, pengurusan galeri itu menafikan sekeras-kerasnya berita berkenaan.
“Kami mendapati terdapat penularan berita palsu melalui media sosial WhatsApp mengenai kesihatan Tun Abdullah yang semakin merosot.
“Beliau masih berada dalam keadaan sihat di sisi keluarga tersayang,” kata kenyataan itu.
Orang ramai juga digesa untuk tidak menyebarkan berita yang tiada kesahihan kerana dibimbangi mencetuskan kegusaran masyarakat.
Pengurusan galeri terbabit turut menggunakan tanda pagar #TidakPastiJanganKongsi dalam kenyataan berkenaan.
Sementara itu, pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi menerusi kenyataan malam ini amat kesal dengan penularan berita palsu itu dan berharap masyarakat dapat memastikan kesahihan mengenainya.

