Muhammad Mustakim Ramli
KAPAL Hisham 6 yang terbabit dalam misi menyelamat kru Kapal MV Dayang Topaz, selamat tiba di Pelabuhan Miri pada jam 11:46 pagi tadi dan diikuti Kapal Surya Bayu pada jam 12.10 tengahari.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memaklumkan kapal-kapal lain yang turut terbabit dalam misi menyelamat itu kini menanti giliran untuk memindahkan mangsa ke darat.
“Mangsa-mangsa yang diselamatkan itu dibawa turun ke Jeti Sri Mas bagi diserahkan kepada petugas kesihatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya menerusi kenyataan.
Malaysiapost pagi tadi melaporkan seorang maut, manakala 124 anak kapal berjaya diselamatkan selepas kapal platform Dayang Topaz karam di perairan Miri, Sarawak.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya menerima aduan kemalangan itu melalui Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC Putrajaya) pada jam 6.45 pagi tadi.
“Maritim Malaysia mengesahkan pada jam 9.29 pagi, empat kru yang hilang telah ditemui berhampiran lokasi kejadian dan mereka telah dibawa ke kapal-kapal yang terlibat dalam operasi cari dan menyelamat.
“Oleh itu, kesemua mangsa yang terjun ke laut adalah 124 dan berjaya diselamatkan, manakala seorang meninggal dunia.
“Sementara 62 kru masih berada di atas kapal Dayang Topaz,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Maritim Malaysia



