Cuci duit: Polis berkas suspek utama yang larikan diri

0
2

SUSPEK utama kes pengubahan wang haram yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum melarikan diri pada 11 Oktober lalu, berjaya diberkas di sebuah pusat peranginan di Pahang, awal pagi tadi.

Suspek dikenali sebagai Alvin Goh, ditahan kira-kira jam 1.30 pagi oleh pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Seorang wanita dipercayai warga asing turut ditahan bersama Goh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, mengesahkan penangkapan itu, lapor Berita Harian.

Baru-baru ini, Goh melarikan diri sebaik dibebaskan dengan jaminan SPRM kerana terbabit dalam kes Macau Scam.

Suspek berusia 32 tahun itu dikehendaki bersabit siasatan membabitkan tiga kes mengikut Seksyen 4(1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka.

Suspek terbabit dalam penganjuran judi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurut rekod polis, suspek menetap di Blok 25B2-5-8, Miharja Condo, Jalan Cheras, Kuala Lumpur. -Malaysiapost