MT Umno dijangka kekalkan sokongan pada PN, Muhyiddin

0
2

MESYUARAT Majlis Tertinggi (MT) Umno dijangka akan terus mengekalkan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malaysiapost difahamkan, meskipun ada tekanan supaya Muhyiddin melepaskan jawatan, namun Umno dijangka akan membuat keputusan untuk terus memberi sokongan.

Keputusan dibuat untuk terus mengekalkan sokongan dibuat bagi memastikan kemelut politik negara dapat diredakan dan kerajaan boleh memberi fokus kepada usaha menangani penyebaran wabak Covid-19.

“Malam ini MT Umno akan terus membuat keputusan untuk kekal menyokong PN seperti mana pendirian dan gencatan politik dibuat presiden parti sebelum ini.

“Cuma ia dibawa masuk dalam mesyuarat MT untuk mendapatkan pegesahan sokongan semua, serta mengabsahkan sokongan secara konsesus,” kata sumber Umno kepada Malaysiapost.

Terdahulu Ahli Parlimen BN dari Umno, MCA dan MIC berkumpul di PWTC hari ini selepas keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat bagi mengawal penularan Covid-19.

Pertemuan yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Pengerusi Jemaah Penasihat, Tengku Razaleigh Hamzah, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dan Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Perbincangan juga dikatakan turut membincangkan tentang pendirian sokongan BN kepada Perdana Menteri.

Malaysiakini melaporkan yang bekas Perdana Menteri, Najib Razak menyuarakan cadangan kepada BN supaya menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.- Malaysiapost