Cadang pengeluaran RM10,000 Akaun 1 untuk pencarum KWSP terdesak

0
3

Nurul Huda Abhar

DATUK Seri Najib Razak mencadangkan kerajaan mempertimbangkan syarat membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan sehingga RM10,000 dari Akaun 1 bagi kegunaan mendesak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, permohonan boleh dipertimbangkan dengan syarat pemohon juga tandatangan surat aku janji untuk berjanji mencarum semula pengeluaran “one-off” itu dalam tempoh dua tahun akan datang selepas ekonomi pulih.

“Saya nak nasihatkan bahawa dividen KWSP biasanya lebih tinggi berbanding kadar faedah simpanan bank dan simpanan KWSP adalah amat penting untuk usia tua kita selepas bersara.

“Sebab itu, jangan membuat pengeluaran KWSP jika tiada kegunaan mendesak.” Katanya di Facebook, hari ini.

Najib berkata, cadangan syarat aku janji tersebut bukan ingin pencarum membuat bayaran balik seperti pinjaman tetapi untuk menggalakkan pencarum lebihkan simpanan usia tua kerana dividen KWSP lebih tinggi.

“Jika tak dapat bayar balik dalam masa dua tahun, tiada penalti dan KWSP tak boleh buat apa-apa.

“Cuma untuk memperingatkan pencarum bahawa simpanan dalam KWSP adalah penting dan akhirnya akan menguntungkan pencarum,” ujarnya.

KWSP sebelum ini telah meluluskan pengeluaran Akaun 2 kepada 3.5 juta pencarum berjumlah RM1.66 bilion sejak pengeluaran i-Lestari dilancarkan April lalu.

Pencarum dibenarkan membuat pengeluaran i-Lestari sehingga maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan daripada Akaun 2 KWSP, bertujuan meringankan beban orang ramai kesan daripada penularan wabak Covid-19. -Malaysiapost