Titah Agong: Semua ahli politik wajar ambil pengajaran – Asyraf Wajdi

0
3
bernama

PEMUDA Umno menyenaraikan lima cadangan untuk diberi tumpuan oleh ahli-ahli politik bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu, semalam.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya berharap semua ahli-ahli politik dapat mengambil pengajaran dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Tuanku Majlis Raja-Raja.

“Selain perlu memahami maksud tersirat agar dihentikan segera segala ‘politicking’ yang boleh membinasakan negara dan menyusahkan rakyat,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya mencadangkan Perdana Menteri memanggil semua presiden parti-parti politik samaada Kerajaan mahupun pembangkang bagi diadakan rundingan pra-persidangan Parlimen.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan Belanjawan 2021 kelak diluluskan demi kesejahteraan rakyat.

“Kita juga mencadangkan Parlimen Batu Sapi dikekalkan status-quo sebagai kerusi Parti Warisan.

“Tanpa perlu ditandingi oleh mana-mana parti politik dalam Pilihan Raya Kecil yang tidak boleh dielakkan sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda Umno juga mencadangkan penglibatan wakil-wakil semua parti tidak kira Kerajaan dan Pembangkang untuk berada dalam Jawatankuasa Khas.

“Ia bagi membantu menangani isu-isu berkaitan Pandemik Covid-19 dan dampak negatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap supaya rundingan bi-partisan (Kerajaan dan Pembangkang) boleh diadakan secara berkala.

“Ia untuk memfokuskan segala agenda untuk membantu rakyat yang dalam keresahan akibat kesan kegawatan ekonomi yang makin meruncing.

“Malah, kita menuntut supaya segala percaturan politik berebut kuasa dan jawatan Perdana Menteri dihentikan buat sementara waktu sehingga selesai pertarungan rakyat menghadapi Pandemik Covid-19 dan kegawatan ekonomi,” katanya.

Semalam, Majlis Raja-Raja bermesyuarat bagi membincangkan cadangan Kabinet untuk memohon pengisytiharan darurat.

Susulan itu, Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berpendapat tidak ada keperluan untuk kerajaan mengisytiharkan darurat bagi menangani Covid-19.

Jelas baginda kerajaan hari ini pimpinan Perdana Menteri telah berjaya menangani wabak itu dengan berkesan.

Bagaimanapun, baginda meminta ahli politik supaya menghentikan ‘politiking’ dan memberi tumpuan kepada usaha kerajaan membantu rakyat. -Malaysiapost