Hamzah perlu lebih prihatin isu rakyat, bukan fokus politik semata-mata

0
3

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin diminta lebih prihatin dengan isu yang menghimpit rakyat dan bukannya terlalu fokus kepada politik semata-mata.

Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong, berkata, Hamzah lebih suka bermain politik daripada menjalankan tanggungjawab menyelesaikan masalah yang timbul ekoran wabak Covid-19 terhadap agensi-agensi di bawah kawal selia Kementerian Dalam Negeri.

Beliau turut memetik kenyataan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan Penjara Pusat Kota Kinabalu dan Penjara Kepayan menghadapi masalah kesesakan akibat lebihan kapasiti sehingga 81 peratus daripada jumlah yang sepatutnya.

“Mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak cekap dalam menjalankan tugas sehingga membiarkan wabak Covid-19 melanda penghuni penjara di seluruh negara.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa banduan juga adalah manusia, dan pegawai penjara juga turut dijangkiti Covid-19.

“Apa yang sedang berlaku di dalam penjara akan memberi kesan kepada komuniti di luar. Wabak Covid-19 boleh merebak kepada masyarakat di luar kompleks penjara sekiranya penularan di dalam penjara tidak dikawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, isu kesesakan penjara telah dibangkitkan sejak bulan April lalu, namun sehingga kini masih belum dibuat sebarang tindakan.

“Kerajaan sebenarnya mempunyai masa yang mencukupi untuk menangani isu ini sepanjang setengah tahun yang lalu. Namun malang sekali, tiada sebarang tindakan drastik daripada Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Sehingga semalam, Malaysia mencatatkan jumlah kes Covid-19 harian yang paling tinggi, sebanyak 1,228 kes baharu.

Menurut kenyataan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) daripada jumlah ini 889 adalah kes-kes di Sabah yang 502 daripadanya adalah di Penjara Kepayan.

Seramai 2,160 penghuni penjara tersebut telah menjalani ujian Covid-19, dan 1,156 individu telah disahkan positif. Nisbahnya lebih daripada satu daripada setiap dua orang penghuni didapati positif Covid-19. -Malaysiapost