Ingkar PKP: 37 individu cuba rentas negeri ditahan

0
1

Fitri Nizam

SERAMAI 37 individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP) dengan merentas negeri atau daerah antara 688 yang ditahan semalam.

Bagaimanapun, daripada jumlah keseluruhan yang ditahan, kesalahan mengingkari penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka adalah kesalahan tertinggi dicatatkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata daripada jumlah ditahan itu seramai 678 individu dikompaun manakala 10 lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk penjarakan fizikal (213), tidak memakai pelitup muka (211) dan gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (136).

“Selain itu, turut ditahan mereka yang didapati melakukan kesalahan merentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (37) dan lain-lain (91),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, menerusi Operasi Benteng, seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan sebanyak lima kenderaan darat dirampas. -Malaysiapost