“KAMI mohon maaf kerana tak dapat membesarkan Muhammad Arif atas sebab ekonomi.”
Itu antara isi kandungan nota yang ditinggalkan ibu dan bapa seorang bayi yang dimuatkan dalam kotak sebelum ditinggalkan di pintu pagar utama Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, Tanjong Karang, Selangor, hari ini.
Kejadian itu disedari Ketua guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kafa Integrasi Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, Mohd Maidin Abdul Rahim, 38, kira-kira jam 7.15 pagi tadi.
Menurut Mohd Maidin, bayi itu ditemuinya dalam kotak berkenaan dilengkapi lampin pakai buang, bedak serta tisu basah.
“Turut ditemui, nota tulisan tangan yang memohon maaf kerana tidak mampu membesarkan bayi itu disebabkan faktor ekonomi selain berterima kasih kepada individu yang sanggup membesarkannya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Katanya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke sekolah untuk meninjau kerja pembersihan.
“Tiba di lokasi, saya perasan ada kotak di pintu pagar utama surau dan menyangka ada orang buang anak kucing.
“Kebetulan, kotak itu ditutup dengan kain berwarna biru. Saya ambil keputusan untuk menyelak kain dan terkejut melihat bayi di dalamnya,” katanya hari ini.
Mohd Maidin mendakwa, kemungkinan bayi itu ditinggalkan selepas solat Subuh, pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan bayi itu dan akan menyiasat lanjut berkaitannya. -Malaysiapost


