Guru kongsi ‘cerita survival’ pemandu e-hailing dibuang kerja

0
2

Nurul Huda Abhar

SEPANJANG pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai yang terkesan termasuk ada diberhentikan kerja ekoran kemerosotan ekonomi berikutan pandemik Covid-19.

Seorang guru, Muhammad Yusof berkongsi ‘cerita’ ketika menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi mengambil keretanya yang berada di bengkel untuk dibaiki.

Guru yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, Pasir Gudang Johor Bahru itu berkata,
semasa kenderaan e-hailing itu tiba, dia
mahu duduk di hadapan namun pemandu memberi isyarat supaya duduk di bahagian penumpang belakang.

“Masuk-masuk saya perasan rupanya yang duduk sebelah ‘brader’ tu budak sekolah. Masih pakai baju sekolah. Siap ada buku kat tangan. Tapi budak tu tidur. Mungkin penat sangat seharian kat sekolah.

“Nak pergi mana cikgu? Brader tu tanya. Mungkin muka saya nampak macam cikgu.

“Bengkel bang..saya jawab. Lepas tu suasana sepi. Dia senyap, saya pun senyap,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, Jumaat lalu.

Untuk memecah kesunyian, lantas guru berkenaan bertanya sudah berapa lama lelaki itu menjadi pemandu e-hailing.

Bagaimanapun, dia serba salah selepas lelaki itu memaklumkan dia mengambil keputusan menjadi pemandu e-hailing selepas diberhentikan kerja semasa PKP.

“Dia terus buka cerita masa ‘lockdown’ hari tu dia kena berhenti kerja. Lepas tu dengan simpanan yang ada dia cuba berniaga pasar malam. Tapi tak jalan juga. Lepas tu dia bawak Grab. Sampailah sekarang. Bolehlah tampung-tampung mana yang patut, dia kata.

“Anak ke bang? saya tanya siapa budak sebelah dia.

“Ya cikgu, penat sangat kot. Saya tak mampu nak sewa van cikgu, jadi sambil saya buat grab ni bolehlah saya hantar dia pergi dan balik. Kesian jugak dia pagi-pagi dah kena bangun nak ikut jadual saya,” tulis guru itu berkongsi perbualan mereka.

Muhammad Yusof mengamati keadaan kanak-kanak itu dan berasa kagum dengan semangatnya walaupun penat tetapi masih mengulangkaji pelajaran sehingga tertidur kepenatan.

“Budak tadi masih tidur. Penat sangat agaknya kat sekolah. Tapi itulah yang buat saya kagum penat-penat dia, buku masih ada kat tangan. Maksudnya sambil-sambil dia naik kereta tu, dia masih nak baca buku. Bagusnya budak tu.

“Sampai kat bengkel. Saya tengok harga RM6. Saya bayar RM20. Brader tu nak pulang baki. Saya kata tak mengapa bagi kat anak abang. Dia ucap terima kasih banyak kat saya.

“Bagus brader tu didik anak dia. Walaupun mungkin PKP ni menjejaskan periuk nasi dia sekeluarga tapi dia tak abai tanggungjawab untuk didik anak dia. Dan, paling penting pelajaran anak dia, dia tak lupa,” tulisnya.

Guru berkenaan juga menasihat orang ramai supaya bersyukur dengan nikmat yang diberikan kerana ramai yang lebih tidak bernasib baik di luar sana.

Beliau juga berharap wabak Covid-19 ini segera pulih agar ekonomi dan kehidupan masyarakat kembali seperti sedia kala.

“Kita yang masih cukup makan, cukup pakai, boleh bayar ansuran rumah, bersyukurlah banyak-banyak sebab kat luar sana masih ramai yang tengah ‘struggle’ nak cari sesuap nasi.

“Doa saya moga dipermudahkan buat brader ni sekeluarga dan moga cepatlah musim Covid-19 ni berlalu daripada kehidupan kita semua,” ujarnya.
-Malaysiapost