Isytihar darurat: Kerajaan jangan zalimi rakyat – PKR Perak

0
3

PENGISYTIHARAN darurat hanya akan membantutkan usaha rakyat untuk membina semula kehidupan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata adalah penting negara di tadbir sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat, keadilan undang-undang tanpa mengira darjat dan komitmen dalam merangka polisi membangun semula negara.

“Rakyat kini lebih takut akan ketidakstabilan negara sekiranya darurat diisytiharkan kerana ia akan merumitkan lagi kegiatan ekonomi mereka.

“Lazimnya rakyat hari ini takut jika tidak ada wang untuk bertahan bagi menampung kehidupan, lebih daripada wabak Covid-19 pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, demokrasi harus dipertahankan tanpa risiko pengorbanan nyawa.

Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus sedar bahawa sebarang usaha kerajaan menidakkan kehendak rakyat demi kuasa adalah satu kezaliman.

“PKR Perak menegaskan bahawa usaha sebuah kerajaan haruslah berpaksikan kebajikan rakyat dan kesaksamaan dalam melaksanakan undang-undang mengikut perlembagaan sedia ada,” katanya.

Jumaat lalu, spekulasi pengisytiharan darurat timbul apabila Perdana Menteri difahamkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan.

Malah, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, adalah di antara yang dilihat berada dalam konvoi mengekori Perdana Menteri ketika memasuki istana. -Malaysiapost