Sentuhan ‘magis’ baju bendera Malaysia Sudirman

0
3

Nurul Huda Abhar

NAMA Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad akan mengingatkan kita dengan aksi lincahnya di pentas sambil mata tertumpu kepada busana sedondon milik beliau yang bercirikan bendera Malaysia sebagai bukti semangat patriotik yang mendalam.

Anak seni kelahiran Temerloh Pahang ini juga individu pertama yang membawa fenomena menggunakan bendera Malaysia pada pakaian dan songkok semasa membuat persembahan di pentas.

Di sebalik imej patriotisme yang dibawa Allahyarham Sudirman, terselit satu nama besar dalam industri rekaan fesyen yang tidak asing lagi iaitu, Den Wahab.

Berkongsi pengalamannya bersama Malaysiapost, Den tidak lekang dibibirnya menzahirkan rasa bersyukur kerana dengan jasa Allahyarham Sudirman sehingga jenama Den Wahab menjadi masyhur di kalangan artis-artis tempatan.

Menurut Den, Allahyarham Sudirman sebelum ini pernah menggunakan khidmat bapanya untuk menjahit baju perkahwinan penyanyi itu bersama kekasih pilihan hati yang telah dikenali sejak kecil, Kamariah Jamaluddin atau “Kay”.

“Awal saya bertemu dengan dia masa tu arwah ayah saya masih hidup lagi. Ada kenangan bergambar dengan dia. Semasa itu saya masih belajar di Institut Kemahiran Mara (IKM) Petaling Jaya.

“Saya lanjutkan pelajaran ke London pada 1984 dan semasa sudah habis belajar saya jumpa dia (Sudirman) kembali di kedai. Dia tanya, Den belajar apa? Bila saya beri tahu belajar dalam rekaan fesyen terus dia kata boleh buat baju abang tak?,” katanya.

Sejak dari itu, bermula khidmat Den atau nama sebenar Zaharudin Abdul Wahab sebagai pereka baju bagi satu figura besar ketika itu.

“Duit raya” dari Sudirman

Mesra menggelar dirinya “abang” ketika berbual, Sudirman adalah seorang yang lemah lembut dari segi percakapan dan sangat tertib apabila berbicara dengan sesiapa sahaja.

Justeru, bagi Den beliau tidak dapat menolak sebarang permintaan yang dibuat oleh Allahyarham Sudirman kerana tutur biacaranya sangat sopan santun boleh membuatkan sesiapa sahaja menjadi “cair”.

Beliau masih ingat pernah diminta untuk membuat pakaian persembahan oleh Allahyarham dalam masa yang singkat, dan merasakan tidak sempat untuk menyiapkannya kerana kesuntukkan masa.

“Lantas, arwah telefon saya. Dia cakap Den tolonglah.. jadi kita bila dengar macam tu kita kesian. Tak mengapa la kena “overtime” pun,” katanya lagi.

Tambah Den, kenangan yang tidak boleh dilupakan apabila menerima “duit raya” daripada Sudirman dan itu adalah tanda ingatan yang besar buat dirinya.

“Masa tu nak raya saya ingat lagi pembantu dia, datang di kedai. Bang Den ni abang Sudir bagi. Duit raya. RM50 saya ingat lagi. Pada ketika itu RM50 bernilai besar.

“Dia bagi saya dan anak buah saya. Dan satu lagi dia bagi saya peluang menjadi salah seorang pengedar untuk minuman Sudir di Kuala Lumpur,” katanya.

Mengimbau kenangannya membuat pakaian Sudirman semasa temasya sukan Sea 1989 di Kuala Lumpur, penyanyi tersebut memperagakan bendera Malaysia yang panjang semasa membuat persembahan.

Malah, ketika itu Sudirman menzahirkan penghargaan kepada pereka bajunya sehingga menyebut nama Den Wahab selaku orang yang merealisasikan pakaiannya itu.

“Semasa dia di atas pentas tu, dia cakap cantikkan bendera saya ni. Terima kasih pada tukang jahit saya, Den Wahab. Itu yang buat saya terperanjat. Dia buat penghargaan kepada saya depan khalayak ramai,” ujarnya.

Beliau memberitahu bagi menjayakan pakaian bendera terpanjang itu dia terpaksa membawa mesin jahit ke Stadium Merdeka dan kakitangannya turut bersama-sama membawa bendera tersebut.

Den berkata, jasa Allahyarham Sudirman sangat besar dalam menaikkan jenama Den Wahab sehingga dikenali oleh wartawan,dan mendapat liputan majalah dan televisyen.

Pelakon filem “Kami” itu juga tidak ragu-ragu mensyorkan nama Den kepada kenalan artis yang lain.

“Saya penuhkan semua yang dia minta, apa kemahuan dia dalam rekaan baju, semua baju Melayu yang dia promosi pada ketika itu

jadi sambutan. Masa ketika itu mana ada orang berani pakai baju melayu bercorak-corak. Hanya Sudirman ikon pertama,” katanya.

Busana terakhir Sudirman

Den yang mempunyai kedai terletak di Wisma Yakin, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur memberitahu baju terakhir yang di buat untuk Allahyarham Sudirman adalah sehelai kot lukisan tangan yang menampilkan tandatangan logo Sudirman.

Kot tersebut telah dipakai oleh Sudirman di majlis sambutan hari lahirnya yang ke-37 dan berlangsung di rumah kediaman kakaknya di Pulau Pinang serta dihadiri oleh anak-anak yatim seramai 500 orang.

“Yang terakhir baju yang saya buat untuk arwah Sudirman adalah baju yang ada “signature” dia. Baju tu ada di Arkib Negara. Dia bawa kain, dia kata Den tolong buat ini,” katanya.

Menurut satu laporan media, kira-kira sebulan selepas majlis sambutan itu Sudirman jatuh sakit di Kuala Lumpur sebelum meninggal dunia pada 22 Februari 1992.

Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh pada hari yang sama berdekatan dengan pusara ibu bapanya.

“Saya tak akan lupakan jasa dia, dia yang promosikan nama saya. Orang kenal Den Wahab ini sebab dia dengan izin Allah. Pemergiaan Sudirman satu kenangan besar kepada industri dan saya juga,” tutupnya. – Malaysiapost