KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg enggan terjebak dalam polemik politik berhubung spekulasi kemungkinan darurat diisytiharkan oleh kerajaan seperti yang tersebar sejak semalam.
Abang Johari berkata, belum ada pengumuman rasmi mengenai isu itu dan beliau juga tidak mempunyai maklumat lengkap mengenainya.
Justeru katanya, beliau tidak bersedia untuk mengulas mengenainya kerana dikhuatiri sebarang ulasan akan disalah tafsir oleh pihak lain.
“Macam mana saya hendak komen jika tiada detail (maklumat terperinci). Tersilap komen, nanti pengguna media sosial akan putar belit kenyataan saya pula.
“Ini (darurat) perkara serius, jadi saya tidak mahu komen berdasarkan komen yang dibuat oleh orang tertentu yang disebar di media sosial,” katanya seperti dilapor BH.
Abang Johari berkata, orang ramai sepatutnya bertenang dan menunggu kenyataan rasmi daripada Istana Negara berhubung perkara itu.
Hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat untuk bertenang dan tidak panik dengan situasi semasa membabitkan isu pentadbiran negara.
Baginda turut menasihatkan rakyat untuk bersabar dan tidak mencetuskan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan serta menggugat ketenteraman negara, sementara menunggu keputusan Raja-Raja Melayu mengenai cadangan dikemukakan Perdana Menteri, semalam.-Malaysiapost

