Muhammad Mustakim Ramli
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui senario pengurusan Covid-19 kini telah berubah berbanding sebelumnya.
Jelasnya, kerajaan kini bukan saja perlu memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi negara, tetapi juga untuk menangani keresahan rakyat.
Menerusi perkongsian di Faceboonya, Muhyiddin Yassin memaklumkan beliau menekankan keperluan untuk mewujudkan pelan jangka masa sederhana-panjang dengan lebih terperinci.
Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau menyedari keresahan rakyat menghadapi situasi pandemik Covid-19 pada masa ini masih belum reda menyebabkan kebergantungan kepada Kerajaan semakin tinggi.
Mengakui senario menguruskan COVID-19 sekarang telah berubah, Perdana Menteri mengajak semua ahli mesyuarat untuk lebih fokus dalam usaha memerangi Covid-19 dan mesti membuktikan pada tahap ini, Malaysia pasti akan menang melawan pandemik berkenaan
Beliau turut mengingatkan ahli mesyuarat supaya lebih teliti dalam membuat keputusan untuk menguruskan Covid-19 dengan lebih berkesan.
Katanya, setiap keputusan yang dibuat mestilah difahami manfaat, risiko dan kesannya kepada kesihatan dan ekonomi rakyat.-Malaysiapost

