Darurat tak dapat hentikan Covid-19 – Tun M

0
3

DARURAT tidak akan dapat menghentikan penularan pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebaliknya langkah darurat itu hanya memberikan kuasa tambahan kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, apa yang dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin selama ini gagal mengurangkan masalah politik, ekonomi dan sosial walaupun Presiden Bersatu itu mempunyai ramai anggota Kabinet.

“Dia mempunyai Kabinet besar yang tidak menyumbang apa-apa untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

“Apa yang darurat boleh lakukan untuk menghentikan wabak lebih daripada apa yang kita buat sekarang? Tak ada apa-apa,” katanya menerusi catatan di chedet.cc hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di Istana Abdul Aziz, Kuantan.

Spekulasi bertiup kencang bahawa Perdana Menteri akan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi melaksanakan darurat kesihatan ekoran penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, sebelum ini Covid-19 dijadikan alasan oleh kerajaan untuk menangguhkan dan memendekkan sidang dan mengelak daripada perbahasan di Parlimen.

“Sekarang, ia dijadikan alasan untuk mengisytiharkan darurat. Tetapi kuasa kerajaan hari ini memadai untuk menangani wabak tersebut.

“Kita bukannya berdepan dengan bantahan rakyat (kepada perintah kawalan pergerakan) seperti apa yang kita lihat di AS (Amerika Syarikat) dan Eropah.

“Rakyat kita secara umumnya sentiasa mematuhi semua larangan seperti PKP,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kerajaan yang ada sekarang bukan dipilih rakyat dan berkuasa tanpa melalui jalan demokrasi.

“Berdepan dengan kemungkinan digulingkan, Perdana Menteri mahukan kuasa di bawah perintah darurat.

“Satu-satunya keuntungan akan memihak kepada Perdana Menteri, kerana parlimen akan lumpuh. Dia akan mendakwa bahawa itu adalah kehendak istana,” katanya. – Malaysiapost