Bersatu hati perangi Covid-19, bukan bertelagah – Noor Hisham

0
2

RAKYAT Malaysia perlu bersatu hati dalam memerangi Covid-19 dan bukan bertelagah antara satu sama lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata orang ramai perlu mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan tidak mengulanginya lagi.

“Petugas barisan hadapan berada di lapangan selama 24 jam, tujuh hari seminggu dalam tempoh 10 bulan sebelum ini.

“Mereka keletihan dari segi mental dan fizikal. Ada yang hampir menyerah. Tolonglah ambil iktibar daripada PRN Sabah dan jangan ulanginya lagi,” katanya menerusi Facebook.

Noor Hisham juga mengingatkan sekali lagi kepada rakyat Malaysia untuk duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar.

“Kita perlu bersama dan berusaha sedaya-upaya untuk sekali lagi melandaikan lengkung penularan Covid-19 di negara ini.

“Ia adalah cabaran untuk melindungi dan mencapai keseimbangan antara kesihatan serta ekonomi dalam memerangi Covid-19.

“Hilang keseimbangan bermakna kehilangan nyawa dan mata pencarian. Bersama-sama kita mengubah sesuatu yang mustahil kepada kejayaan melandaikan lengkung sekali lagi,” katanya. – Malaysiapost