Menteri, ahli politik dapat berlapang dada tidak perlu kuarantin – Syed Saddiq

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

“SYUKUR menteri dan ahli politik dapat berlapang dada,” kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau mendakwa terdapat perbezaan membabitkan golongan politik dengan rakyat dalam isu berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Tidak ada penjara, tidak ada tindakan selanjutnya diambil, tidak perlu dipakai gelang pink, boleh pergi ke tempat awam dalam tempoh kuarantin dan seluruh ahli keluarga boleh keluar masuk negara tanpa perlu kuarantin dan dipakaikan gelang pink.

“Maksudnya, adakah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) silap apabila mengenakan kompaun terhadap menteri yang melanggar kuarantin sebelum ini? Biar rakyat menilai.

“Tapi, remaja yang turunkan pelitup muka didenda RM1,000, makcik gelang pink didenda RM8,000 dan penjara satu hari, kontraktor yang langgar kuarantin didenda RM5,000; pelajar IPT yang keluar membuat tugasan dan tidak patuh SOP kena denda RM1,000,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, menteri dan ahli politik dapat berlapang dada, tidak ada gelang pink, tidak ada kuarantin.

“Syukur,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berikutan tiada dokumen perintah kuarantin dikeluarkan kepadanya selepas pulang dari Turki.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan berkenaan dirujuk kepada Peguam Negara dan memutuskan untuk tiada tindakan lanjut (NFA).

“Kertas siasatan dirujuk ke AGC dan arahan untuk kes ini adalah tiada tindakan lanjut kerana dia tidak diserahkan Borang 14B di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin.

“Berdasarkan keterangan berkenaan, maka AGC memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan memandangkan tiada keterangan kukuh bagi mengasaskan pertuduhan,” katanya. – Malaysiapost