PRN-12: Sarawak dapatkan nasihat pakar, KKM

0
2

DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata kerajaan Sarawak sudah mendapatkan pandangan dan nasihat pakar terutama Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia bagi menentukan tempoh sesuai mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Ketua Menteri Sarawak itu berkata, nasihat daripada pakar perlu kerana kerajaan negeri mengutamakan keselamatan rakyat.

“Meskipun keadaan kini semakin mendesak untuk kerajaan negeri mendapatkan mandat baharu berikutan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir April tahun depan.

“Kita tidak dapat mengelak mengadakan pilihan raya kerana jangka hayat DUN sekarang akan berakhir tidak lama lagi.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini sedang meneliti dua isu utama ini, pilihan raya dan Covid-19,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Abang Johari berkata, selepas tempoh DUN berakhir pada April tahun depan, Sarawak mempunyai tempoh 120 hari lagi iaitu sehingga Jun sebelum pembubaran berlaku secara automatik.

“Kita tidak dapat meramalkan bila Covid-19 akan tinggal satu angka atau berakhir sepenuhnya dan kami akur dengan nasihat KKM bila pilihan raya harus diadakan. Ini bukan bermakna saya gila kuasa.

“Saya juga faham dan prihatin dengan keselamatan kesihatan rakyat, tetapi kita tidak boleh mengatur dan melaksanakan langkah-langkah untuk membantu rakyat daripada pandemik Covid-19 jika kita tidak mempunyai mandat,” katanya.

Abang Johari mengakui, situasi sekarang amat rumit kerana beliau harus mempertimbangkan antara keselamatan rakyat dan perlunya kerajaan memiliki mandat untuk mentadbir dan menguruskan ekonomi ketika dilanda wabak Covid-19.

“Yang penting kita mesti mempunyai pemerintah yang mempunyai mandat bukan hanya untuk mengurus Covid-19, tetapi juga mentadbir negeri dan mengurus ekonomi,” katanya.

Abang Johari berkata, beliau tidak mahu peningkatan kes seperti di Sabah turut berlaku di Sarawak selepas pilihan raya.

“Pilihan raya di Sabah berbeza dengan pilihan raya yang akan diadakan di Sarawak.

“Ia kerana di sana dilaksanakan kerana tercetus pertikaian pemimpin tetapi Sarawak pula tempoh DUN berakhir yang menuntut pilihan raya mesti diadakan,” katanya. – Malaysiapost