BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan murid dan pelajar.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata hatinya risau dan sedih memikirkan nasib anak-anak dan guru di sekolah.
“Buat ibu bapa berbincanglah dengan pihak sekolah melalui PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) untuk membuat keputusan terbaik di samping memastikan anak-anak sentiasa mematuhi SOP,” katanya.
Maszlee seterusnya meminta Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) supaya mewakili para guru untuk memastikan kesihatan warga pendidik sentiasa diutamakan dalam apa juga keputusan yang diambil.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 1,259 murid dan pelajar positif Covid-19 sejak gelombang ketiga melanda negara, bulan lalu.
Daripada jumlah itu, 587 adalah murid sekolah rendah dan 670 pula pelajar sekolah menengah.
Sejak Februari hingga 21 Oktober pula, sebanyak 830 kes positif Covid-19 direkodkan melibatkan murid sekolah rendah manakala 1,315 pelajar sekolah menengah. – Malaysiapost

