RoS hanya berikan surat amaran terhadap Dong Zong – Pembela

0
1

GABUNGAN Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyuarakan ketidakpuasan hati atas keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Selangor terhadap salah laku pertubuhan Dong Zong.

Menerusi kenyataan di Facabooknya, Pembela berkata selama beberapa bulan lalu, pihaknya bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu telah membuat aduan beramai-ramai terhadap Dong Zong.

Ini kerana, pertubuhan itu didakwa telah melanggar peraturan persatuan mengikut prosedur undang-undang, seterusnya supaya pendaftaran Dong Zong dibatalkan.

Menurut kenyataan itu, Pembela telah menerima sepucuk surat maklumbalas daripada RoS berkenaan aduan beramai-ramai terhadap Dong Zong tersebut.

Bagaimanapun, katanya, setelah berhempas pulas berusaha bersama peguam, usaha itu menemui penamatnya.

“RoS hanya mengeluarkan surat amaran pentadbiran kepada Dong Zong,” katanya.

Kenyataan itu turut menyenaraikan aduan-aduan terhadap Dong Zong yang telah dikemukakan kepada RoS:

1. Pertama, aduan telah dibuat berkenaan satu kongres yang dianjurkan Dong Zong, menentang pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Kongres tersebut hampir mencetuskan ketegangan kaum yang dahsyat. Alhamdulillah, kongres yang dijadualkan pada 28 Disember tahun lalu itu dibatalkan oleh polis melalui perintah mahkamah apabila mendapat tentangan hebat daripada NGO Melayu Islam. Mereka juga cuba mengaitkan pengajaran tulisan Jawi ini dengan cubaan kononnya untuk menyebarkan ajaran Islam kepada murid-murid SJKC dan SJKT.

Maka, penentangan Dong Zong ini dianggap satu bentuk pelanggaran undang-undang yang sangat ketara kerana tulisan Jawi dilindungi oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.

2. Kedua, Dong Zong dilihat konsisten menentang apa jua Dasar Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan kaum melalui sekolah satu aliran menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar sejak 60 tahun lalu.

Antara yang ditentang pertubuhan Cina itu ialah, Penyata Barnes 1951, Ordinan Pelajaran 1952, Kertas Putih Pelajaran 1954, Penyata Razak 1956, Ordinan Pelajaran 1957, Penyata Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, mengetuai gerakan Universiti Merdeka 1968 dan 1969, menentang arahan membatalkan UEC pada 1975, menuntut penubuhan Universiti Merdeka dari Yang di-Pertuan Agong pada 1978, dan mencabar tindakan Yang di-Pertuan Agong menolak penubuhan Universiti Merdeka di mahkamah pada 1980.

Pertubuhan itu turut menentang Dasar Kebudayaan Negara pada 1983, menentang Rancangan Sekolah Integrasi pada 1985, menentang lantikan guru tidak berbahasa Cina pada 1987, menghidupkan semangat Universiti Merdeka yang ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong dan mahkamah dengan menubuhkan New Era College di tapak yang dimaksudkan untuk penubuhan Universiti Merdeka pada 1998.

Maka, mereka melanggar peruntukan Seksyen 2A Akta Pertubuhan 1966.