Bekas SU Politik Mat Sabu dituduh terima rasuah RM130,000

0
3

BEKAS Setiausaha Politik Mohamad Sabu didakwa atas dua lagi pertuduhan menerima rasuah RM130,000 daripada sebuah syarikat bagi membantu memperoleh kontrak Kementerian Pertahanan pada 2019.

Pertuduhan hari ini hanya selepas sembilan hari selepas Mohd Azhar Che Mat Dali, 49, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.3 juta.

Memetik laporan Utusan, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Rofiah Mohamad selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan RM50,000 melalui Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn. Bhd., Ahmad Hisham Mohd. Tajuddin sebagai upah sebagai penjawat awam kepada Menteri Pertahanan.

Suapan itu dipercayai sebagai dorongan membantu Syarikat FEHM Entity Sdn. Bhd. untuk dipilih menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaran bagi peralatan perisikan sistem prisma Direktorat Peperangan Informasi (DPI) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan RM80,000 dari Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn. Bhd., Elias Jemadi Tajudin melalui Zainudin Abdul Majid, Pengarah Syarikat Ikaira Resources bagi tujuan sama.

Bagi pertuduhan kedua ini, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kota Damansara Driving Range, Jalan PJU 5/1a, Kota Damansara pada penghujung 2019. – Malaysiapost

Foto Kredit: Kosmo