Nilam Oshman
SEJARAH penubuhan dan peranan Umno dalam buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Tingkatan 4, didakwa diolah sehingga perjuangan parti berkenaan hilang erti dan makna sebagai pejuang serta suara Melayu menentang Malayan Union.
Pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, Umno diterima oleh Raja-Raja Melayu dan British untuk berunding menggantikan Malayan Union melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Katanya, peranan Umno tidak dijelmakan dalam tulisan sebagai hasil kongres Melayu 1946 tetapi hanya disebut sepintas lalu.
Beliau berkata, dalam Bab 4, peranan besar Umno menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu melalui Perjanjian Persekutuan 1948 tidak disebut langsung.
“Malah perjanjian itu dan penubuhan Umno dipisahkan sebagai satu bab asing. Inilah cara halus kepentingan Umno ditiadakan dalam naratif sejarah Malaysia.
“Saya bukan bela Umno tapi itu sejarah. Umno dulu dan sekarang berbeza, jangan sebab politik dan dendam kita buang sejarah penting itu dan mengagungkan pemimpin dan negara luar serta Parti Komunis Malaya (PKM). Apa tujuan sebenar mereka (penulis) ini,” katanya ketika ditemui Malaysiapost.

Dr Ramlah berkata, Umno hanya diletakkan di bawah ayat terakhir sub-topik ‘Mengadakan Kongres Melayu’, namun tiada huraian tentang objektif penubuhan Umno, tokoh-tokoh yang mendokongnya serta identiti perlembagaan Umno itu sendiri.
Sebaliknya, beliau berkata komunisme dan perkembangannya diutarakan dalam Bab 6 buku teks berkenaan.
“Penubuhan Umno sebenarnya kemuncak nasionalisme Melayu Kebangsaan dan melahirkan satu parti dan pertubuhan antarabangsa yang menjadikan suara mantap orang Melayu dalam politik.
“Selain mengembalikan kuasa Raja-Raja Melayu ke atas takhta dan kekuasaan serta keistimewaan kedudukannya seperti Pra-1941.
“Peranan Umno ini telah dicairkan dengan tajuk ‘Bantahan Rakyat terhadap Malayan Union (MU)’, sedangkan penentangan Umno terhadap MU adalah satu penyatuan orang Melayu secara besar-besaran menentang British,” katanya.
Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Khas mengkaji Buku Teks dan Silibus Sejarah itu berkata, melalui MU, British telah mencabut dasar perlindungan (protected states) Negeri-negeri Melayu, yang diamalkan sejak 1874-1941.
“Justeru Penentangan Umno dan orang Melayu terhadap MU adalah kemuncak nasionalisme Melayu dalam sejarah kebangsaannya, Tanah Melayu. Penentangan ini menyatukan raja dan rakyat dalam satu wadah perjuangan politik kebangsaan Melayu.
“Konsep Waadat Melayu Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba di Bukit Seguntang Mahameru telah dimeterai sehingga membawa kejayaan kepada penentangan orang Melayu kepada MU iaitu penjajahan British ke atas Tanah Melayu,” katanya.

Katanya, kerjasama Raja-Raja Melayu, Umno dan orang Melayu dalam menentang MU telah melahirkan Perjanjian Persekutuan 1948 bagi menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1948.
“Inilah kali pertama, perjanjian Raja-Raja Melayu, British dan Umno dalam menentukan prinsip, dasar dan struktur pemerintahan dan pentadbiran Negara bangsa Persekutuan Tanah Melayu yang dibawa kepada Malaysia sehingga hari ini.
“Melalui Perjanjian ini, pengembalian takhta, kuasa, jurisdiksi, keistimewaan dan kedaulatan Raja-Raja di setiap negeri dipulangkan semula seperti sebelum 1941.
“Setiap negeri beraja mendapat Perjanjian Negeri 1948 – satu perjanjian bertulis bagi kali pertama kecuali Johor dan Terengganu yang telah mempunyai Undang-undang Tubuh Negeri sebelum itu.
“Selain itu, Konsep Raja Perlembagaan diwujudkan menggantikan sistem Raja Mutlak. Kemudian, bahasa Melayu, tulisan Jawi dan agama Islam menjadi agama negeri-negeri Melayu,” katanya.
Tambahnya, Umno menjadi wakil politik Persekutuan Tanah Melayu membentuk Parti Perikatan pada 1955 dan menang 51 daripada 51 kerusi Pilihan Raya Majlis Mesyuarat Perundangan 1955 (Federal Council Election 1955) sehingga membentuk kerajaan peralihan iaitu kerajaan sendiri (self-government) dan menuntut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 serta membentuk Malaysia pada 1963.
Dengan itu, katanya, Umno menjadi parti Melayu yang dominan dapat menentukan hala tuju politik Melayu sehingga hari ini.
“Namun, peranan dan sumbangannya yang sangat besar dilupakan dan diperkecilkan dalam sejarah tanah air dengan mengenepikan nama Umno sebagai ketua kerajaan Parti Perikatan dan Barisan Nasional.

“Ini adalah satu fakta sejarah yang tidak patut hilang atau dipinggir dalam sejarah negara dan ia jelas terlihat dalam bab 4,5,8 dan 9 buku teks ini. Malah terdapat penekanan yang salah dalam naratif sejarah Malaysia di dalam buku teks itu dan lebih menonjolkan peranan radikal. – Malaysiapost
Siri 1: Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 bercelaru, beban pelajar dan guru
Siri 2: Sejarah Tingkatan 4 agungkan golongan radikal, haluan kiri
Siri 3: Sejarah penubuhan, peranan Umno dalam buku teks diolah, ditiadakan?

