Bersatu Sabah mahu tanding 45 kerusi, Umno kata jangan mimpi

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

Umno dan Bersatu mula “berselisih” berhubung agihan kerusi apabila secara terbuka menolak hasrat parti serpihannya untuk bertanding di 45 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Badan pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata parti itu telah mengenal pasti 45 kerusi yang akan ditandingi mereka.

“Kita sudah bersiap sedia dan telah mengenal pasti 45 kawasan DUN yang akan ditandingi oleh calon Bersatu.

“Bersatu Sabah akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi memperhalusi persiapan jentera pilihan raya parti di setiap kawasan DUN Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hajiji berkata, Bersatu Sabah bersedia berbincang dengan parti Perikatan Nasional (PN), Umno dan BN bagi menghadapi PRN Sabah demi mengumpul kekuatan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya negeri.

Jumaat lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada PRN.

Mohd Shafie memohon membubarkan DUN selepas hilang sokongan majoriti bagi meneruskan pentadbiran kerajaan Warisan Sabah.

Ia susulan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendapat sokongan 33 adun bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

PRN Sabah akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan mengingatkan Bersatu supaya “jangan bermimpi” untuk bertanding di 45 kerusi Dun Sabah.

“Dua perkataan, jangan mimpi. Cadangan kepada Bersatu Sabah, kalau nak bersahabat dengan Umno buat cara bersahabat. 

“Kita boleh berbincang. Kita boleh berunding. Umno Sabah punyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi.

“Tetapi kalau sebelum berunding pun PPBM (Bersatu) sudah ghairah mengiklan hasrat bertanding 45/73 kerusi, itu bukan langkah berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu Pengerusi Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin ketika dihubungi Malaysia Post berkata beliau akan mengulas perkara itu esok.