Mesyuarat Perwakilan, Perhimpunan Agung Umno ditangguh

0
3

Fitri Nizam

UMNO menangguhkan semua Mesyuarat Perwakilan membabitkan 191 bahagian di seluruh negara dan Perhimpunan Agungnya berikutan wabak Covid-19 yang dihadapi negara ketika ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata penangguhan itu mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengurusan parti dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, berdasarkan perlembangaan parti.

“Fasal 8.2 perlembagaan Umno yang dirujuk berbunyi “Perhimpunan Agung Tahunan hendaklah diadakan sekali dalam setahun pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi dengan syarat tidak lewat daripada 18 bulan dari tarikh Perhimpunan Agung yang lalu”.

“Fasal 8.2 perlembagaan ini dibaca bersama Perkara 5.4 Peraturan Persidangan yang berbunyi “tarikh Perhimpunan Agung, tarikh Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan tempoh Persidangan Cawangan adalah ditentukan oleh Majlis Tertinggi”,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tarikh Perhimpunan Agung Umno 2019 ialah pada 6 dan 7 Disember, justeru 18 bulan selepas itu ialah selewatnya pada 5 Jun 2021.

“Oleh itu dipersetujui bahawa tarikh Mesyuarat Perwakilan Bahagian ialah pada Mac/April 2021 dan Perhimpunan Agung 2020 pada Mei/awal Jun 2021.

“Tarikh yang tepat akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, penangguhan ini membabitkan 764 persidangan iaitu empat mesyuarat perwakilan untuk setiap 191 Umno Bahagian di seluruh negara.

“Oleh kerana begitu banyak perhimpunan yang melibatkan puluhan ribu orang, ia kemungkinan berupaya untuk merebakkan wabak Covid-19.

“AJK Umno Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri di 191 bahagian disaran untuk mengadakan pelbagai aktiviti kebajikan prihatin rakyat dan ziarah kasih kepada yang memerlukan bantuan dalam kawasan masing-masing.

“Segala aktiviti mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. – Malaysiapost