Covid-19: 9 penjara dikenakan PKPD

0
2

Fitri Nizam

SEMBILAN penjara di zon utara dan Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok sehingga 4 November depan.

Penjara yang dimaksudkan adalah Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Tapah iaitu di zon utara.

Manakala di Selangor, Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata selain penjara, kuarters perumahan kakitangan di lokasi terbabit juga termasuk dalam arahan PKPD bagi memudahkan saringan dilakukan.

Katanya, keputusan dibuat sidang khas selepas mendengar pembentangan situasi semasa Covid-19 yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Prosedur operasi standard (SOP) di lokasi ini adalah sama seperti yang diumumkan untuk penjara-penjara sebelum ini.

“Cuma ingin saya tekankan bahawa ketika PKPD dilaksanakan pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan sama sekali bagi mengelakkan jangkitan berlaku dan keluarga banduan juga tidak dibenarkan membuat lawatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, bagi banduan yang akan dibebaskan dalam tempoh PKPD, mereka akan diasingkan terlebih dahulu sebelum dibenarkan keluar. -Malaysiapost