Strategi kerajaan tangani Covid-19 tidak jelas – Anwar

0
2
anwar ibrahim

Muhammad Mustakim Ramli

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa masih ramai belum jelas soal strategi kerajaan dalam menangani kemelut Covid-19 berikutan terdapat kekeliruan terkait Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya, kekeliruan SOP itu dapat dilihat di minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang membabitkan arahan bekerja dari rumah yang diumumkan Menteri berkaitan.

“Lapan bulan sejak diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan, nampaknya kita masih belum jelas soal strategi kerajaan dalam menangani kemelut ini, dan tentang bagaimana harus dibangunkan semula ekonomi.

“Tetapi apa yang disajikan kepada rakyat adalah arahan atau panduan yang bertembung, termasuk amalan antara dua darjat dalam pelaksanaan hukuman.

“Arahan bekerja dari rumah ternyata tidak masuk akal apabila ia hanya mengarahkan staf-staf untuk bekerja dari rumah, manakala yang berada di bahagian operasi yang terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah dikehendaki untuk bekerja seperti biasa,” katanya menerusi kenyataan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, perubahan di saat akhir, termasuk arahan yang membabitkan pekerja sektor awam dan sektor yang di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) benar-benar menambah rumit orang ramai dan membazir masa.

Katanya, rakyat perlukan kerajaan yang telus dan informatif, terutamanya membabitkan dasar yang jelas dalam mendepani kemelut.

“Ia tidak membina keyakinan, samada domestik ataupun kepada para pelabur luar apabila kenyataan-kenyataan penting dibuat tanpa kajian yang menyeluruh.

“Meski kerajaan mengumumkan bahawa aktiviti ekonomi dibenarkan, namun panduan terkini ternyata akan memberi dampak pada perniagaan, terutamanya kepada mereka yang kini sedang bergelut dalam sektor peruncitan,” katanya.

Justeru, Anwar berkata kerajaan perlu melanjutkan moratorium pinjaman.

“Langkah ini sekurang-kurangnya akan membantu sektor perniagaan dan rakyat dalam menempuh kemelut yang dijangka akan berpanjangan.

“Kerajaan harus tonjolkan kepimpinan yang punya kualiti dengan melanjutkan moratorium pinjaman untuk tiga bulan lagi.

“Langkah tambahan adalah diperlukan bagi menopang industri kecil, dan gaji kepada pekerja sehingga tamat PKP,” katanya. -Malaysiapost