Pengumuman ‘gencatan politik’ bukti ada rancangan jatuhkan kerajaan PN

0
2

PENGUMUMAN ‘gencatan politik’ dan terus mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara tidak langsung menunjukkan beliau mengakui memang ada rancangan untuk menjatuhkan kerajaan PN.

Menurut Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke, cuma sekarang kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat, Umno bersama PN berdamai sementara.

Katanya, ‘gencatan politik’ merujuk kepada ‘pendamaian sementara’ dua pihak yang bertentangan dalam politik khususnya di antara pihak dalam kerajaan dengan pihak yang berada dalam pembangkang.

Dalam konteks politik Malaysia, katanya, garis tersebut amat jelas sekali di Dewan Rakyat dengan 113 Ahli Parlimen yang membentuk kerajaan (termasuk 39 Ahli Parlimen UMNO) manakala 109 Ahli Parlimen blok pembangkang yang menentang PN.

“Yang peliknya, Presiden UMNO yang partinya berada dalam kerajaan PN mengumumkan ‘gencatan politik’,” kata bekas Menteri Pengangkutan itu menerusi catatan di Facebook hari ini.

Loke berkata, tidak ada seorang pun pemimpin DAP pernah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan baharu.

Menurutnta, pendirian DAP menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat adalah konsisten dan selari dengan kerangka perjanjian dicapai dalam Pakatan Harapan (PH) selama ini.

“Jangan lupa perjanjian ini telah dimeterai semua parti dalam PH termasuk PPBM (Bersatu) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Sebenarnya saya telah pun mengemukakan pandangan berkenaan ‘gencatan politik’ seawal Ogos lalu, sebelum pun Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Saya berpandangan semua parti perlu berlapang dada dan bersedia duduk di meja rundingan untuk menyelesaikan kemelut politik ketika ini,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umno akan terus bersama PN dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi.

Beliau berkata, parti itu menetapkan pendirian untuk melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi diutamakan. – Malaysiapost