Gagal dapatkan sokongan, apa langkah Anwar seterusnya? – A Kadir Jasin

0
2
KUALA LUMPUR, 14 Mei -- Ketua Media dan Komunikasi bagi Majlis Penasihat Kerajaan Datuk A Kadir Jasin pada sidang media selepas mesyuarat tertutup Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Nurul Huda Abhar

APAKAH langkah Anwar seterusnya? Itulah soalan cepumas yang dinanti-nantikan jawapannya, soal tokoh wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin.

Ia susulan kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ‘percaturan politiknya’ untuk mendapatkan sokongan pemimpin Umno bagi membentuk kerajaan baharu, seperti dicanang sebelum ini.

Kadir berkata, jika dahulu Presiden PKR itu pernah mempercayai janji dan sumpah setia yang ditabur oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Dua puluh dua tahun lalu, Ahmad Zahid dengan bersemangat meniupkan “trumpet” lagu kroni hasil karya mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apabila krisis politik 1998 meledak dan Anwar tercampak daripada kepemimpinan Umno dan negara, Ahmad Zahid dengan penuh emosi mengikrarkan jiwa dan raga.

“Tetapi apabila “ditemuduga” oleh Dr Mahathir yang intipatinya pilihan antara ‘sumpah setia’ dengan ‘harta dan kuasa’ , Ahmad Zahid memilih yang kedua,” katanya dalam di Facebook, hari ini.

A Kadir berkata, ketika era pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Ahmad Zahid sekali lagi berikrar dan berjanji memberi sokongan kepada Anwar.

“Sekali lagi Anwar percaya dan dengan penuh keyakinan memberitahu sidang media bahawa dia mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan dalam Dewan Rakyat,” katanya.

A Kadir mendakwa Ahmad Zahid bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sekadar mengikrarkan sokongan kepada Anwar, malah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara itu.

“Kalau Ahmad Zahid dan Najib menjadi ‘kawan baru’ dan sekutu Anwar, namun ramai lagi yang memusuhinya.

“Di kalangan pemimpin parti-parti Pakatan Harapan sendiri, banyak yang tidak selesa mengenai kerjasama dengan Umno khususnya dengan Ahmad Zahid yang sedang dibicarakan dan Najib yang sudah pun didapati bersalah,” ujarnya lagi.

Katanya, Anwar, Ahmad Zahid dan Najib terlupa bahawa walaupun kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Dewan Rakyat lemah dan semakin tidak popular di kalangan rakyat tetapi beliau masih Perdana Menteri.

“Dengan kedudukan itu dia masih mempunyai kuasa eksekutif sebagai benteng pertahanan.

“Maka, sekali lagi, macam pada tahun 1998 , Ahmad Zahid membuat pusingan-U atas alasan mahu membantu mengatasi wabak Covid-19 dan masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara dan rakyat jelata.

“Justeru, katanya, genjatan senjata politik yang dipopularkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang pada mulanya dipersenda, kini menjadi alasan Ahmad Zahid untuk menyelamatkan diri,” katanya -Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama