Tragedi elak ular, dua beranak temui ajal

0
1

DUA beranak maut selepas kereta Proton Gen2 dinaiki bertembung dengan pacuan empat roda selepas terbabas akibat mengelak ular di Kilometer 61, Jalan Jerangau-Jabur dekat Felda Jerangau, Dungun, pagi tadi.

Dalam nahas jam 10.09 pagi itu, Mohamed Jenal, 61, dan anak perempuannya, Mardiah Mohamed, 16, disahkan maut.

Difahamkan, kedua-dua beranak itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Felda Jerangau Barat ke Bandar Dungun, namun sebaik tiba di lokasi, Mohamed dipercayai cuba mengelak ular sawa yang melintang laluan itu.

Kejadian itu menyebabkan kereta terbabit terbabas ke kanan sebelum bertembung kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm dari arah bertentangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Zul Husni Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.10 pagi dan menghantar tujuh anggota ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa di dalam Proton Gen2 tersepit dan segera melakukan kerja mengeluarkan mangsa.

“Kedua-dua beranak sudah meninggal dunia dan bomba mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum mayat diserah kepada polis untuk urusan selanjutnya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu dan memaklumkan mayat dua beranak itu dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Pemandu sebuah lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu tidak cedera dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987,” katanya. – Malaysiapost

Ular yang arwah mangsa cuba mengelak sebelum kemalangan