GERAK hati seorang suami yang berubah mahu menaiki motosikal ke tempat kerja menyelamatkan isteri dan anaknya daripada dirempuh tayar lori balak yang tercabut.
Dalam kejadian di Kampung Lata Kaseh, Jerantut semalam, kereta yang diletakkan di depan rumah remuk selepas menjadi ‘benteng’ menahan tayar lori balak yang bergolek laju dari merempuh bilik dihuni anak dan isterinya.
Difahamkan, tayar berkembar lori balak berkenaan tercabut dan bergolek menuruni bukit ke rumah mangsa sebelum merempuh kereta jenis Perodua Alza yang diletakkan di depan rumah.
Utusan melaporkan, mangsa, Siti Noraaisyah Abdul Rahman, 35, berkata dalam kejadian 7.30 pagi itu dia baru sampai ke rumah selepas menghantar anak sulung ke sekolah.
“Apabila balik saya terus ke bilik depan melihat anak ketiga yang berusia tiga tahun sedang tidur sebelum terdengar dentuman kuat dan panggilan daripada emak mentua yang tinggal bersebelahan.
“Saya terkejut melihat tayar lori yang tercabut merempuh kereta dan berasa bernasib baik kerana sebelum ini suami yang mahu membawa kereta kerana hujan rintik tergerak hati pula membawa motosikal,” katanya. – Malaysiapost

