AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah tiba di ibu pejabat parti itu di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur bagi berdepan dengan Lembaga Disiplin Umno.
Difahamkan, Ketua Umno Bahagian Subang itu akan mengadakan satu sidang media sejurus sesi pertemuan dengan Lembaga Disiplin Umno selesai.
Media sebelum ini melaporkan, Armand Azha yang juga calon Ketua Pemuda Umno bagi Pemilihan Umno 2023 mengesahkan beliau dipanggil oleh Lembaga Disiplin Umno.
Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui alasan kenapa dirujuk kepada Lembaga Disiplin Umno.
Pada 27 Januari lalu, MKT Umno memutuskan memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar daripada Umno kerana pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Umno turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain selama enam tahun seperti Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan; dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif. – Malaysiapost

