Muhyiddin terima perletakan jawatan Wan Saiful

0
3

PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan menerima permohonan peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan selaku Ketua Penerangan parti itu.

Menurutnya, beliau dimaklumkan perkara itu ketika berjumpa Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor pagi tadi.

Beliau berkata, bagaimanapun surat rasmi perletakan jawatan itu akan dihantar kepadanya hari ini.

“Saya sudah menerima peletakan jawatan Ketua Penerangan berkuatkuasa hari ini oleh Wan Saiful ketika berjumpa pagi tadi.

“Beliau akan hantar surat (peletakan jawatan) hari ini, Insya-Allah,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Misi dan Dana Bantuan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) – Gempa Bumi Turkiye dan Syria di Parlimen hari ini.

Mengulas mengenai tindakan Wan Saiful itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Pengerusi PN memuji sikap Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkenaan yang disifatkan sebagai satu langkah bertanggungjawab.

Beliau berkata langkah itu sekaligus menggambarkan satu standard daripada Bersatu apabila ahlinya berdepan tuduhan mahkamah.

“Ini satu set standard kita nak tunjukkan bahawa dia berdepan tuduhan supaya tidak menimbulkan salah pandangan terhadap Bersatu. Beliau sendiri mengatakan ‘saya meletak jawatan’.

“Jadi satu langkah yang cukup saya hargai tetapi tanggungjawab ini akan terus dipimpin ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) lain yang akan dipilih dalam tempoh segera.

“Ini kerana tugas ketua penerangan penting kerana kita nak menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). Jadi kita akan teruskan kerja-kerja baik yang dibuat Wan Saiful,” katanya.

Muhyiddin turut berharap tindakan yang diambil itu dapat menangkis pandangan negatif terhadap parti dan menegaskan ia bukan menghukum sebaliknya tindakan Wan Saiful adalah secara sukarela.

“Kita harap langkah kita ambil ini akan memudahkan dan tidak akan timbul pandangan negatif terhadap kita. Ini satu sifat cukup mulia dan saya sanjung supaya kita berdepan dengan bermaruah,” katanya.

Terdahulu Wan Saiful mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu susulan pendakwaan dikenakan terhadapnya semalam.

Wan Saiful berkata, tindakan itu dibuat bagi memberi tumpuan untuk membersihkan namanya terlebih dahulu yang menjadi prinsip selama ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here