Jana Wibawa: SPRM sahkan Muhyiddin antara suspek

0
3

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.

Sumber SPRM berkata, Muhyiddin adalah suspek siasatan ketika beliau dipanggil untuk memberi keterangan di SPRM.

Sehubungan itu, katanya, Muhyiddin tidak sepatutnya memberi ulasan berunsur spekulasi kerana perkara itu boleh mengganggu siasatan SPRM.

Ketika ini, siasatan juga sedang dijalankan terhadap beberapa individu termasuk bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Tengku Zafrul juga akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya lapor Berita Harian yang memetik sumber.

Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), memaklumkan SPRM memanggil beliau untuk memberi kenyataan, bukan sebagai suspek dalam projek Jana Wibawa.

Menurutnya, beliau memberikan kerjasama yang baik ketika memberi kenyataan dan SPRM juga menjalankan tugas mereka dengan baik.

Muhyiddin dilaporkan berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Terdahulu, Tengku Zafrul sedia memberi keterangan kepada SPRM untuk membantu siasatan berhubung projek Jana Wibawa, jika diminta berbuat demikian.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menegaskan, tiada apa yang hendak disembunyikan berhubung dana projek itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here