Lebih 400,000 calon duduki SPM 2022 mulai esok

0
2
sekolah spm school

SERAMAI 403,637 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang akan dilaksanakan bermula esok hingga 15 Mac ini.

Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kesemua calon berkenaan akan menduduki peperiksaan itu di 3,355 pusat peperiksaan seluruh negara.

“Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut, seramai 131,318 petugas peperiksaan telah dilantik,” menurut KPM.

KPM turut mengingatkan semua calon agar sentiasa merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

“Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022,” katanya.

Dalam pada itu, KPM turut mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua calon peperiksaan SPM 2022.

“Semoga diberikan ketenangan menghadapi peperiksaan dan beroleh kejayaan yang diimpikan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut dijangka meninjau perjalanan peperiksaan SPM 2022 di beberapa sekolah esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here