Cuci duit: Ahli politik juga tidak terlepas – Bukit Aman

0
2

AHLI politik juga akan disiasat polis sekiranya terbabit di dalam sindiket ‘cuci duit’, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Bagaimanapun, katanya setakat ini pihaknya tidak mengesan pembabitan ahli politik dalam kegiatan yang dikaitkan dengan perniagaan golongan selebriti sebelum ini.

“Namun polis akan menjalankan siasatan, jika ada tindakan akan diambil.

“Berhubung tangapan dibuat terhadap tiga lelaki yang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, polis akan membuat permohonan bagi melanjutkan reman selama 38 hari,”katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Sementara itu, berhubung individu yang melarikan diri selepas dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Huzir berkata pihaknya masih mengesan lokasi suspek bersembunyi.

“Suspek yang dikenali sebagai Goh Leong Yeong @ Alvin sedang giat diburu oleh polis.

“Semalam kita (polis) ada membuat tangkapan ke atas seorang lelaki di Lembah Klang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek yang melarikan diri,”katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, SPRM membongkar kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal memulakan perniagaan.

Ini susulan tangkapan lima individu termasuk Datuk dan lelaki bergelar Datuk Seri palsu pada 3 Oktober lalu oleh SPRM selepas seorang selebriti terkenal dipanggil untuk dirakam percakapan.

SPRM juga membekukan kira-kira RM101 juta daripada 736 akaun bank dan menyita wang tunai RM5 juta serta merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan. -Malaysiapost