PENERBIT, pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki menarik nafas lega apabila kini namanya bebas daripada senarai hitam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Lantaran itu, Afdlin berharap ‘pembebasan’ tersebut dapat memberi sinar untuknya kembali mengarah filem semula sekali gus mendapat kelulusan dana daripada Finas.
Menurutnya, beberapa projek filem yang dirancang sebelum ini terpaksa ditangguh berikutan namanya didakwa disenarai hitam Finas susulan membuat pengumuman menyertai PKR pada April 2021.
“Saya dah lama tidak mengarah filem. Memang rindu sangat nak mengarah semula. Apatah lagi, saya ada beberapa projek filem nak dihasilkan.
“Tapi, tertangguh kerana tidak mendapat kelulusan dana daripada Finas sebelum ini apabila nama disenarai hitam oleh agensi itu.
“Malah, harapan saya sekiranya memperoleh dana Finas selepas ini dapatlah memulakan penggambaran filem Angel of Sandakan yang saya sasarkan untuk dihantar bertanding ke Academy Awards atau Oscars nanti,” katanya memetik Harian Metro hari ini.
Terdahulu, dalam satu hantaran di Facebook miliknya, Afdlin berkongsi sekeping foto beliau bertemu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil di pejabat menteri itu.
“Tq YB Fahmi for a wonderful meeting (pertemuan indah). Yang penting, dah tak kena ‘blacklist’ (senarai hitam) dengan Finas! So boleh buat filem balik,” tulisnya.
Pengarah Filem Buli itu turut menafikan pertemuan serampang dua mata itu ada kaitan langsung untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Finas.
“Pertemuan saya dengan menteri, bagi membincangkan mengenai industri filem dan usaha saya untuk mengarah semula kerana sebelum ini terpaksa tangguhkan projek kerana tidak mendapat kelulusan dana Finas akibat fahaman politik berbeza dengan kerajaan terdahulu.
“Saya terpaksa melalui situasi di diskriminasi oleh pelbagai pihak disebabkan parti politik disertai ketika itu adalah pembangkang. Tapi, sekarang dah jadi kerajaan maka, saya bolehlah mengarah semula,” katanya.
Afdlin menegaskan, sebagai penggiat seni, selama ini beliau tidak pernah mencampuraduk politik, perniagaan dan karier.
Jelasnya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana projek penerbitan filem Angel of Sandakan itu sememangnya sudah dirancang bersama Finas sejak dari awal. – Malaysiapost

