RAKYAT Malaysia mendoakan dua ekor anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Denti dan Frankie yang menyertai tugas operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi Turkiye, terus sihat.
Menerusi hantaran yang dikongsi pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew di Facebook miliknya memaklumkan beliau yang kini berada di Turkiye sempat bertemu dua hero berkenaan.

“Dapat bergambar dengan Frankie dan Denti banyak berjasa mencari mangsa di Ulu Yam dan kini di Turkiye,” katanya.
Menjengah ruangan komen, ramai rakyat Malaysia meminta agar kedua-dua ‘Hero Batang Kali’ sentiasa kekal sihat dalam misi mencari mangsa di negara berkenaan.
“Waahhh..UEL jumpa Frankie and Dentie..doakan mereka semoga urusan mereka dipermudahkan ya ustaz,” kata Farrah Hawa.
“Alhamdulillah Terbaik ustaz semoga Frankie n denty Dan wira2 disana sentiasa didllm lindungan Allah Dan selamat Dari Segala Nye Aamiin2,” kata Rohani Abu.
“Anjing tu sanggup terbang ke merata satu dunia untuk menyelamat mangsa tanpa kira kaum dan agama… itulah wira empat kaki Malaysia , kena tabik,” kata Jaya Javen.
“Semoga pasukan bomba kita dipermudahkan urusannya, harap juga Denti dan Frankie pun sihat dan gembira di sana,” kata Imran
Sementara itu, dalam hantaran berasingan Ebit menzahirkan rasa sebak kerana berpeluang bertemu dengan hero Malaysia yang menyertai misi SAR di Turkiye.
Beliau turut mendoakan semua pasukan penyelamat diberikan kesihatan yang baik dan kekuatan sepanjang menjalankan operasi SAR dalam keadaan cuaca sejuk.
“Menangis dengar bagaimana mereka berjaya mengeluarkan 52 mangsa. 5 orang keluar dengan selamat. Menangis dengar kesungguhan team Malaysia.
“Hanya Allah yang membalas segala usaha kesungguhan mereka yang tidur dalam khemah untuk keselamatan. Air sejuk untuk tandas dan mandi. Suhu sampai -12.
“Tahniah team Malaysia. Allah beri kesihatan dan kekuatan buat semua ya,” tulisnya. – Malaysiapost

