TIMBALAN Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mengumumkan untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada pemilihan parti akan datang.
Ketua Umno Bahagian Tangga Batu itu berkata, hasrat bertanding itu adalah sebagai usaha untuk memantapkan lagi pentadbiran dan kepemimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ini.
Katanya, beliau menawarkan diri untuk membarisi pasukan yang akan sentiasa mempertahankan institusi Presiden parti keramat berkenaan.
“Saya adalah seorang daripada pemimpin Umno yang lantang bersuara ketika terdapat beberapa pemimpin parti yang tidak menghormati institusi presiden.
“Saya tidak fikir apa-apa (habuan) sebaliknya mahu memastikan dua pemimpin kita itu (presiden dan timbalan presiden) dapat meneruskan perjuangan menjaga dan memartabatkan Umno demi masa depan agama Islam dan bangsa Melayu itu sendiri,” katanya.
Pengumuman Mohamad Ali itu sekali gus menjadikan beliau sebagai pemimpin Umno ketiga dari Melaka yang mengisytiharkan untuk merebut jawatan berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Umno Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta penyandang Ahli MKT, Datuk Rais Yasin turut berbuat demikian, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohamad Ali turut mengumumkan untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu untuk penggal kedua kali ini.
Ia susulan pengumuman Rais yang juga Ketua Pemuda Umno bahagian berkenaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput untuk merebut jawatan terbabit. – Malaysiapost

