Nurul Huda Abhar
MULAI esok, pekerja bidang pengurusan dan penyeliaan dalam kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya perlu bekerja di pejabat, tiga kali seminggu untuk tempoh empat jam bermula 10 pagi hingga 2 petang.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perkara itu diputuskan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Beliau berkata, kebenaran itu diberikan selepas mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan kehadiran sebilangan kecil pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan.
“Mengambil tanggungjawab bersama untuk melindungi kesihatan rakyat dan pekerja, MITI akan segera melaksanakan keputusan MKN supaya pihak industri memperkenalkan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi kakitangan pengurusan dan penyeliaan.
“Ia sebagai langkah untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan pandemik Covid-19 terutamanya di kawasan yang sedang menjalani PKPB.
“Daripada maklumbalas yang diterima daripada industri, seramai 776,135 pekerja atau 25 peratus adalah pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan. Kumpulan ini diwajibkan untuk menjalani BDR bermula 22 Oktober 2020 selaras dengan keputusan MKN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, MITI bersetuju untuk membenarkan maksimum 10 peratus pekerja merangkumi antaranya tugasan yang membabitkan kerja perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk berada di pejabat.
“Ia dihadkan selama empat jam sahaja bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang untuk tiga hari seminggu,” katanya.
Semalam, sidang khas MKN membincangkan maklum balas dan situasi terkini pandemik Covid-19 serta menetapkan langkah awal untuk membendung penularan wabak itu termasuk mengarahkan pekerja sektor awam dan swasta bahagian pengurusan dan penyeliaan bekerja di rumah berkuat kuasa, Khamis ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpandangan ada keperluan mendesak memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKPB dengan menghadkan pergerakan orang ramai, terutamanya di Selangor dan Kuala Lumpur yang mempunyai jumlah penduduk yang padat dan menjadi antara hab perindustrian utama negara.
Mohamed Azmin berkata, MITI memandang serius gesaan KKM yang menasihati orang ramai untuk terus berada di rumah supaya kita dapat melandaikan lengkuk jangkitan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, bagi melaksanakan dasar BDR itu syarikat tidak perlu mengemukakan sebarang permohonan dan majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB.
“Majikan perlu menetapkan garis panduan BDR yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing.
“Kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak swasta dan industri dalam usaha untuk mempertingkatkan pelaksanaan BDR sebagai norma baharu selari dengan kecanggihan teknologi terkini dan aplikasi atas talian.
“MITI akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan SOP dalam kalangan pihak industri,” katanya.
Berdasarkan sistem pangkalan data Sistem Pengurusan Pintar MITI Covid-19 – (CIMS), jumlah pekerja yang berdaftar dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya adalah seramai 3.1 juta orang.
Beliau juga menegaskan sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, keseimbangan di antara perlindungan kesihatan awam dan kelangsungan aktiviti ekonomi adalah penting untuk dicapai. -Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan

