Umno mahu sokongan kepada PN dibuat secara ‘en-bloc’

0
3

Aiman Hanif

UMNO mahu sokongan secara “en-bloc” dijadikan syarat baharu sokongan bertulis parti itu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, ia merupakan syarat baharu yang dikemukakan parti itu untuk meneruskan sokongan kepada PN.

“Jika sebelum ini sokongan kepada kerajaan PN itu dibuat berdasarkan sokongan Ahli Parlimen saja.

“Kali ini Umno mahu sokongan dikira sebagai satu ‘en-bloc’…Sokongan Umno pada kerajaan,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Selasa minggu lalu, Umno membuat keputusan untuk pertimbang semula sokongan parti itu terhadap kerajaan PN.

Keputusan itu dibuat mesyuarat Biro Politik Umno selang beberapa jam Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Umno mahu syarat baharu sokongan secara bertulis bagi meneruskan sokongan kepada kerajaan.

Antara syarat yang dikemukakan Umno ialah jawatan Timbalan Perdana Menteri mesti diberikan kepada parti itu begitu juga portfolio penting dalam Kabinet.

Sementara itu, ahli MT berkenaan turut memaklumkan bahawa Umno juga mengelak daripada berlakunya piiihan raya mengejut.

“Kita sedar jika pilihan raya berlaku dalam situasi sekarang rakyat akan marah.

“Sebab itulah kita seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada pilihan raya mengejut,” katanya.- Malaysiapost