Gnabry positif Covid-19

0
2

GERGASI Jerman, Bayern Munich hari ini mengumumkan pemain sayapnya, Serge Gnabry positif Covid-19.

Menerusi kenyataan kelab, pemain berusia 25 tahun berada dalam keadaan baik dan menjalani kuarantin di rumah.

Gnabry akan terlepas perlawanan kumpulan Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid apabila Bayern memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Eropah dalam aksi tertutup di Allianz Arena awal pagi esok.

Bagaimanapun, Bayern tidak menyatakan sama ada ujian positif terhadap Gnabry memberi kesan kepada perlawanan di gelanggang sendiri selepas pemain itu menjalani sesi latihan pada sebelah pagi semalam.

Bekas sayap Arsenal memulakan aksi dalam empat perlawanan Bundesliga buat Bayern musim ini dan menjaringkan hatrik ketika membelasah Schalke 8-0 pada perlawanan pembukaan bulan lalu.

Dia menjadi pemain kedua dari skuad Jerman yang diuji positif virus itu selepas pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan. -Malaysiapost