Penghapusan cukai jalan jejas kelancaran pentadbiran negara – Anthony Loke

0
4
PUTRAJAYA 20 OGOS 2018. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR

KERAJAAN tidak boleh memansuhkan cukai jalan kerana ia antara sumber pendapatan selain mampu menjejaskan kelancaran pentadbiran negara, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Menurutnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip kira-kira RM4 bilion setahun, dan hampir separuh daripadanya adalah daripada cukai jalan.

“Cukai jalan adalah satu hasil kepada kerajaan. Kalau kerajaan semua mahu kecualikan, tiada hasil, bagaimana kita mahu mentadbir negara. Mana-mana negara, kerajaannya mesti ada kutipan hasil.

“JPJ mengutip hampir RM4 bilion lebih setiap tahun dan sebahagian besar adalah daripada cukai jalan. Cukai jalan saja kalau tak silap saya ada lebih RM2 bilion,” katanya.

Beliau mengulas gesaan orang ramai yang mahu kerajaan memansuhkan cukai jalan susulan kerajaan membenarkan pemilik kenderaan persendirian untuk tidak lagi mempamerkan cukai jalan pada kenderaan.

Mengulas lanjut, Loke berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi pendekatan dan tindakannya termasuk langkah pengecualian mempamerkan cukai jalan pada kenderaan.

“Mana yang kita boleh kurangkan kos, kita akan cuba lakukan. Mengapa kita buat pendigitalan (cukai jalan) ini, ia dapat mengurangkan kos rakyat.

“Mana-mana rakyat yang gunakan (syarikat) pihak ketiga untuk hantar cukai jalan, lepas ini ‘sticker’ itu tak perlu, jadi penghantaran (oleh pihak ketiga) pun tak perlu lagi. Jadi jimatlah beberapa ringgit dari kos penghantaran itu,” katanya.

Jelasnya, langkah kerajaan untuk mengecualikan kenderaan mempamerkan cukai jalan bukan langkah mandatori atau wajib, sebaliknya ia pilihan untuk semua pengguna kenderaan.

Katanya, bagi mereka yang berdepan masalah akses kepada digital atau warga emas yang tidak mahir dengan pendigitalan, mereka masih boleh meneruskan penggunaan yang lama seperti biasa.

“Kita tak wajibkan. Kalau masih tak sesuai dengan pendigitalan, masih boleh dipakai (tampal cukai jalan pada kenderaan), teruskan.

“Saya hanya kata itu tak wajib, bukan mesti dikeluarkan dan mesti pakai digital. Kita hanya bagi opsyen, bagi pilihan kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here