Mahkamah tolak bantahan Hadi, arah bayar kos RM20,000

0
2

MAHKAMAH Pilihan Raya Kuala Terengganu menolak bantahan yang dikemukakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk Parlimen Marang.

Hakim, Datuk Hassan Abdul Ghani juga mengarahkan Hadi membayar kos RM20,000 ekoran tindakannya itu.

Justeru, Mahkamah memutuskan untuk mendengar perbicaraan penuh petisyen itu yang akan diadakan 6 hingga 21 Mac depan, lapor The Malaysian Insight.

Umno Terengganu memfailkan petisyen pada 3 Januari bagi membatalkan kemenangan calon PAS di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman.

Umno mendakwa, PAS melalui agen masing-masing memberikan rasuah kepada pengundi bagi membolehkan mereka mengundi PAS dalam PRU15 lalu.

Petisyen difailkan oleh calon masing-masing iaitu Jasmira Othman (Marang), Mohd Zubir Embong (Kuala Terengganu) dan Datuk Seri Ahmad Said (Kemaman).

Ahmad yang juga pengerusi Umno Terengganu mendakwa ada “bukti jelas” oleh saksi yang mendakwa menerima wang daripada PAS yang memancing undi di tiga kawasan itu.

Keputusan permohonan membatalkan petisyen bagi kerusi Kemaman akan didengar pada petang ini melalui aplikasi zoom.

Keputusan bagi petisyen untuk kerusi Kuala Terengganu akan diketahui pada 17 Februari. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here