Siri 1: Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 bercelaru, beban pelajar dan guru

0
3

Nilam Oshman

PENULISAN dan kandungan pada buku teks Sejarah Tingkatan 4 didakwa tiada penceritaan sebenar serta fakta yang menghilangkan semangat patriotisme.

Perkara itu ditegaskan pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam yang menyifatkan buku teks menggunakan silibus Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi sesi 2020 itu akan menyebabkan berlaku salah faham dan kekeliruan kepada generasi akan datang.

Prof Datuk Dr Ramlah Adam

Dr Ramlah yang berpengalaman dalam jawatan kuasa menyediakan silibus Sejarah Malaysia, berkata selepas diteliti kandungan buku teks berkenaan, terdapat beberapa faktor yang akan memberi kesan kepada sejarah negara jika tidak dibetulkan.

Pertama, beliau mendapati di Bab 2 iaitu Kebangkitan Nasionalisme mempunyai skop penulisan, penghuraian dan fakta terlalu luas.

Katanya, dalam bab 2, buku teks itu dimasukkan konsep nasionalisme Barat, Asia, Asia Tenggara sebelum Malaysia dan penulis tersebut mengkaji lebih kepada sejarah dunia; Amerika, Eropah, Vietnam, China, India, Indonesia namun Malaysia diletakkan di hujung bab.

“Buku KBSM sebelum ini hanya memasukkan konsep nasionalisme, tapi buku ini liputan terlalu luas dan terperinci, sepatutnya ia silibus untuk Tingkatan 6, bukan Tingkatan 4.

“Sepatutnya buku teks kita kaji Malaysia saja, jadi guru boleh fokus. Ini tidak, mereka (penulis) masukkan juga perkembangan Barat, revolusi Amerika, Perancis malah sumpah pemuda Indonesia.

“Ini membebankan proses pengajaran dan pembelajaran serta menyusahkan guru kerana terdapat konsep nasionalisme dan gerakan nasionalisme kawasan-kawasan tersebut dari kurun 17 hingga 20.

“Malah, tokoh-tokoh yang ditonjolkan terlalu ramai mewakili setiap negeri dipilih, jadi terlalu banyak pembacaan, pemahaman dan penghafalan yang terpaksa dibuat,” katanya ketika ditemui Malaysiapost.

Dr Ramlah adalah penulis buku teks Tingkatan 3 dan 5 KBSM dan Ketua Pakar Rujuk buku teks 2014 hingga 2017 lantikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Mengulas lanjut, katanya, penerangan terlalu panjang dan liputan meluas di setiap negara, misalnya topik gerakan nationalisme di India, China, Uthmaniyah, Jepun dan Pan-Islamisme menyebabkan pelajar jemu dan tidak suka dengan subjek Sejarah.

“Kemudian, ada juga sub-topik yang tak jelas seperti gerakan Islam diletak gerakan agama, bukan gerakan agama Islam, ia boleh menyebabkan keliruan kepada agama lain,” katanya. – Malaysiapost

Siri 1: Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 bercelaru, beban pelajar dan guru

Siri 2: Sejarah Tingkatan 4 agungkan golongan radikal, haluan kiri

Siri 3: Sejarah penubuhan, peranan Umno dalam buku teks diolah, ditiadakan?

Siri 4: Sejarah Tingkatan 4 agungkan komunis